KUALA LUMPUR, 25 Mei- Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Hourn, menegaskan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 merupakan platform penting dalam memperkukuh negara anggota.
Selain itu ia juga memberi ruang perbincangan kepada negara-negara terlibat berkenaan isu semasa termasuk cabaran geopolitik dan geoekonomi baharu.
"Isu utama atau salah satu isu utama dan agenda utama Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 adalah pemeteraian Wawasan Komuniti ASEAN 2045 dan empat pelan strategik baharu," kata beliau.
Mengulas lanjut, beliau turut menyentuh situasi di Myanmar serta tindak balas ASEAN terhadap perkara itu.
"Saya yakin isu Myanmar turut menjadi tumpuan, terutamanya perkembangan semasa di negara itu termasuk gempa bumi 7.7 magnitud baru-baru ini dan bagaimana ASEAN bertindak balas secara kolektif serta perkembangan lain yang sedang berlaku di Myanmar," katanya.
Pada masa sama, rundingan berterusan mengenai Kod Tatalaku (Code of Conduct) di Laut China Selatan turut menjadi topik penting untuk memuktamadkan rundingan menjelang tahun hadapan.
"Satu lagi isu penting sudah tentu rundingan berterusan mengenai Kod Tatalaku di Laut China Selatan, yang mana kedua-dua pihak – ASEAN dan China – komited untuk menyelesaikannya menjelang tahun hadapan," jelas beliau.
Kao turut menekankan pendekatan jangka panjang ASEAN menerusi pelaksanaan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.
"ASEAN tidak bersifat reaktif, sebaliknya sangat berpandangan jauh, dengan adanya wawasan jangka panjang ini ia menjadi peta hala tuju untuk membimbing usaha pembinaan komuniti ASEAN.
Sekali gus mempercepat integrasi serantau serta memperkukuh hubungan dengan rakan luar," tambah beliau.