fb fb fb fb fb

Pembukaan UTC Seberang Perai beri akses perkhidmatan kepada lebih sejuta penduduk sekitar

Foto FB Chow Kon Yeow

BUTTERWORTH, 8 November - Pusat Transformasi Bandar (UTC) Seberang Perai yang terletak di Terminal Pengangkutan Penang Sentral, kini beroperasi sepenuhnya.

Ia dijangka memberi manfaat kepada lebih sejuta penduduk sekitar Seberang Perai termasuk Seberang Jaya, Penaga, Perai serta kawasan sempadan selatan Kedah dan utara Perak.

UTC yang beroperasi di tingkat tiga dan empat bangunan Penang Sentral, dengan keluasan mencecah 60,000 kaki persegi itu, menempatkan sembilan jabatan kerajaan antaranya termasuklah Jabatan Imigresen, dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Selain itu, terdapat juga Hab Kerjaya Awam Swasta yang mempelbagaikan lagi fungsi UTC tersebut.

Malah dengan lokasinya yang strategik, iaitu terletak di hab pengangkutan bersepadu yang menggabungkan perkhidmatan komuter KTM, bas, feri dan teksi, ia bakal memperkukuh kedudukan Butterworth sebagai pusat pertumbuhan sosioekonomi utama di bahagian Seberang Perai.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir menyempurnakan perasmian UTC ini.

Majlis Peluncuran UTC Seberang Perai merupakan lokasi kelima dan terakhir bagi lawatan kerja sehari beliau di Pulau Pinang.

UTC ini merupakan UTC ke-24 di seluruh negara dan yang kedua di negeri itu.

Penubuhannya adalah inisiatif hasil pembentangan Belanjawan 2025, yang direalisasikan melalui kerjasama strategik antara Kementerian Kewangan (MOF) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

EZA YUSMAWATI YAACOP