fb fb fb fb fb

Karnival Ban Canal 2025 pacu pelancongan lestari Sabak Bernam

FOTO FB UNIVERSITI TEKNOLOGI MARA CAWANGAN SELANGOR - MEDIA RASMI

SABAK BERNAM, 8 November – Karnival Ban Canal 2025 kembali mewarnai daerah Sabak Bernam sebagai acara pelancongan lestari yang meraikan keindahan alam semula jadi, budaya tempatan serta warisan pertanian.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata aktiviti sukan air, Larian Santai @Bendang, pameran agro, kempen hijau dan jualan usahawan PKS merupakan antara tarikan utama karnival tersebut.

“Karnival ini memperlihatkan sinergi antara kerajaan negeri, agensi tempatan, sektor swasta dan komuniti dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang serta pemeliharaan alam sekitar,” katanya di sini.

Beliau turut menyatakan bahawa inisiatif seperti itu menyokong aspirasi menjadikan Sabak Bernam dan kawasan sekitarnya sebagai Rizab Biosfera UNESCO pada masa hadapan.

Sementara itu, Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor merangkap Pengerusi Majlis Perundingan Sabak Bernam, Datuk Rizam Ismail berkata karnival itu bukan sekadar pesta hiburan, tetapi platform penting untuk menjana ekonomi tempatan dan mengekalkan warisan budaya.

Penganjuran tersebut turut membuka ruang kepada usahawan kecil dan sederhana memasarkan produk tempatan, sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi mikro setempat.

Berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 November, karnival berkenaan menyasarkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung.

Karnival Ban Canal yang dianjurkan oleh Sabak Bernam Development Area (SABDA) dengan kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) serta rakan strategik menjadi platform untuk memperkukuh pembangunan pelancongan berasaskan desa dan pertanian, di samping memelihara biodiversiti serta kesejahteraan komuniti setempat.

Bertemakan “Alam, Budaya, Lestari”, penganjuran kali ketiga ini turut menerima pengiktirafan 'Best Tourism Event' dalam Anugerah Industri Pelancongan 2025 anjuran Malaysia International Tourism Development Association (MITDA).

Karnival Ban Canal 2025 terus menjadi simbol komitmen Selangor terhadap pembangunan pelancongan lestari yang menggabungkan elemen alam, budaya dan ekonomi tempatan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM