BUTTERWORTH, 8 November - Pembukaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Seberang Perai terus memberi manfaat kepada orang ramai apabila kemudahannya bukan sekadar menawarkan perkhidmatan agensi kerajaan, malah turut menjadi tumpuan pencari kerja tempatan mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat kerjaya secara terus.
Pengunjung, Fazilah Md Dali, berkata pelbagai agensi pekerjaan seperti MyFutureJobs dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) turut menyertai program di UTC, sekali gus memudahkan pencari kerja mendapatkan maklumat di satu lokasi.
"Bukan setakat MyFutureJob, SPA semua dia buka serentak. Jadi masa begitu panjang, memang kami sokong sepenuhnya MyFutureJob. Memang yang terbaik," katanya.
Seorang lagi pengunjung, Linisha, berkongsi pengalaman positif apabila mendapat pendedahan berguna berkaitan proses permohonan kerja secara dalam talian.
"Walaupun kami belum dapat kerja, sekurang-kurangnya kami dapat pengetahuan tentang cara memohon kerja dan keperluan majikan," ujarnya.
Sementara itu, M. Vetavishnu berkata kemudahan pelbagai jabatan kerajaan di satu lokasi menjadikan urusan harian lebih mudah dan menjimatkan masa.
"Saya datang untuk ambil pasport. Dekat dengan rumah, senang. Kalau di Komtar penuh, di sini terus boleh urus," katanya.
UTC Seberang Perai merupakan UTC ke-24 di seluruh negara dan yang kedua di Pulau Pinang. Penubuhannya merupakan inisiatif bawah Belanjawan 2025, hasil kerjasama strategik antara Kementerian Kewangan (MOF) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Beroperasi di tingkat tiga dan empat bangunan Penang Sentral, UTC ini berkeluasan lebih 60,000 kaki persegi serta menempatkan sembilan jabatan kerajaan termasuk Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).