PUTRAJAYA, 25 Mei– Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone, menerima sambutan rasmi penuh istiadat di Bangunan Perdana Putra, hari ini, sempena lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik pada Disember 2022.
Ketibaan beliau pada pukul 10.00 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan sebagai simbol penghormatan diplomatik.
Siphandone kemudiannya memeriksa pasukan kawalan kehormatan terdiri daripada 103 anggota dan tiga pegawai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Menurut kenyataan Wisma Putra, kedua-dua pemimpin turut akan mengadakan perbincangan menyeluruh mengenai isu serantau dan global, dengan penekanan terhadap kepentingan strategik ASEAN sebagai platform yang padu dan responsif dalam menangani cabaran geopolitik dan geoekonomi.
Lawatan itu juga diadakan menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2, dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China yang berlangsung selama dua hari bermula esok.
Hubungan dua hala antara Malaysia dan Laos terus menunjukkan perkembangan positif.
Pada tahun 2024, jumlah dagangan dua hala mencecah RM99.7 juta, merangkumi eksport bernilai RM67.8 juta dan import sebanyak RM31.9 juta.
Malaysia merupakan pelabur asing kelima terbesar di Laos, dengan jumlah pelaburan berjumlah AS$942 juta melalui 46 projek berdaftar.
Ia merangkumi sektor tenaga boleh baharu, pengangkutan dan logistik, telekomunikasi, pembinaan, perbankan serta perkhidmatan hotel.