fb fb fb fb fb

Siasatan pencemaran minyak dan bau kawasan perindustrian dijalankan - Nik Nazmi

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan IklimNik Nazmi Nik Ahmad

KLANG, November - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) telah menjalankan satu siasatan ekoran pencemaran minyak dan bau yang membelenggu penduduk berhampiran sebuah kawasan perindustrian, di sini.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, hasil siasatan menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati terdapat kesan tompokan minyak di sekitar tapak perindustrian seluas 9.7 hektar itu yang disyaki minyak enjin kenderaan.

Jelasnya, terdapat beberapa aduan di sekitar itu yang mempunyai insiden yang sama namun siasatan masih giat dijalankan untuk mengenal pasti pelaku.

"Banyak kadang-kadang kejadian ini melibatkan sindiket yang bukan kecil-kecilan, sebab itu kita perlu satu tindakan bersepadu dan di peringkat alam sekitar kita berkerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dengan pihak polis dan pihak-pihak lain untuk memastikan apabila kita turun kita dapat ambil tindakan yang sewajarnya kepada pelaku-pelaku kerana saya boleh bayangkan dengan bau yang begini amat tidak baik untuk kesihatan mereka," kata Nik Nazmi ketika melakukan tinjauan ke lokasi insiden bersama-sama JAS dan Majlis Perbandaran Klang.

Tambahnya, notis arahan telah dikeluarkan mengikut Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang mengarahkan pemilik tanah berkenaan supaya melakukan kerja-kerja pembersihan dan melupuskan buangan ke premis yang dilesenkan JAS.

Bawah Seksyen 31 pesalah boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. 

Sekiranya kesalahan diteruskan, denda tambahan tidak melebihi RM1,000 akan dikenakan setiap hari dari tarikh notis dikeluarkan.

Manakala bawah Seksyen 37 pula denda tidak melebihi daripada RM2,000 atau penjara tidak lebih daripada enam (6) bulan atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

TETITIA YUSOFF