fb fb fb fb fb

Agong titah penerima Ru'RASA jaga rumah baik-baik, jangan jual

Al-Sultan Abdullah menyerahkan replika kunci kepada salah seorang penerima

ROMPIN, 16 November- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyerahkan kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru'RASA), yang dibina dengan kerjasama kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kepada tujuh  penerima di daerah Rompin,Pahang.

Daripada 178 buah rumah di Pahang, sebanyak 124 buah rumah daripadanya telah siap.

Al-Sultan Abdullah dalam titah ucapannya, mamaklumkan Projek Ru'RASA adalah projek yang diusahakan pihaknya bersama Presiden Emiriah Arab Bersatu  (UAE) dengan kos sebuah rumah antara RM75,000 ke RM100,000.

Baginda menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada UAE atas bantuan peruntukan membina rumah untuk golongan memerlukan di negeri itu.

Seri Paduka menitahkan para penerima untuk menjaga rumah tersebut dengan baik dan tidak sewenang-wenangnya menjual rumah terbabit, namun boleh membesarkan rumah berkenaan.

"Saya sentiasa memperingati kerajaan supaya pelbagaikan rumah dan setiap rakyat Pahang harus dapat sedikit sebanyak tanah, rumah lot dan kawasan tanah untuk berkebun pada masa hadapan... saya nasihatkan jangan sesekali nak jual,"titah Sultan Abdullah.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Penyempurnaan Penyampai Rumah Ru'Rasa di Kampung Janglau,Rompin.

Al-Sultan Abdullah juga berkenan mencemar duli melawat dua buah Ru'RASa yang dibina di Kampung Janglau, Rompin.

Selain itu, rumah Ru'RASa turut dibina di Kampung Bukit Ibam, Kampung Lubuk Batu,Kampung Meripoh,Kampung Desa Pandan dan Kampung Melati dalam daerah Rompin.

Hadir sama majlis berkenaan adalah wakil Duta UAE dan dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE