fb fb fb fb fb

Siasatan menyeluruh kerosakan struktur jejambat berhampiran LRT Bandaraya ambil masa dua minggu

(FOTO FAIL)

KUALA LUMPUR, 1 Februari – Siasatan menyeluruh ke atas kerosakan struktur viaduct dan pier yang retak berhampiran stesen LRT Bandaraya sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kerosakan.

Rapid Rail Sdn.Bhd memaklumkan sebuah syarikat perunding kejuruteraan berpengalaman telah dilantik untuk menjalankan siasatan terperinci.

Siasatan akan mengambil kira semua kemungkinan bagi menentukan pelan tindakan rektifikasi yang akan diambil.

(FOTO FB RAPID KL)

"Siasatan ini dijangka akan selesai dalam masa dua minggu. Ianya mengambil masa kerana perlu dilakukan dengan teliti dan berhati-hati atas faktor keselamatan serta mengambil kira lokasi struktur itu sendiri.

"Sebuah jawatankuasa khas yang membabitkan pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bersama-sama agensi-agensi kerajaan yang lain iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dibentuk bagi memantau siasatan ini," kata Rapid Rail menerusi kenyataan.

Rapid Rail turut memaklumkan, hasil siasatan tersebut turut akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan.

Dalam pada itu, Pihak Prasarana dan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku operator perkhidmatan LRT sedang berusaha untuk memulihkan perkhidmatan di antara dua stesen iaitu stesen LRT Bandaraya dan stesen LRT Masjid Jamek secepat mungkin.

"Namun perlu ditekankan bahawa keselamatan para penumpang dan kestabilan operasi adalah menjadi keutamaan.

"Kami mengambil maklum kesukaran yang dihadapi oleh para penumpang dan kami memohon maaf diatas segala kesulitan," kata Rapid Rail.

Media Baharu