fb fb fb fb fb

Mohamad Sabu dahului senarai penerima pingat Hari Wilayah Persekutuan 2023

(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan
Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Menteri
Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu)

KUALA LUMPUR, 1 Februari - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2023 di Istana Negara.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu mendahului senarai 164 penerima bagi tahun 2023.

Beliau dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Enam lagi penerima yang dikurniakan SMW, antaranya Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Isham Ishak dan Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.

Seramai 15 penerima dianugerahkan darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk.

Antaranya Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Toisin Gantor, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Azah Hanim Ahmad, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dan Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Adam.

(Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri 
Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar bersama
sebahagian para penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan
2023 di Istana Negara/ Foto BERNAMA)

Seramai 16 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Keempat iaitu Johan Mahkota Wilayah (JMW), 19 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Kelima iaitu Kesatria Mahkota Wilayah (KMW), 15 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Keenam iaitu Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 92 individu dianugerahi Darjah Kebesaran Pangkat Ketujuh iaitu Pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW).

Bagi mengiktiraf sumbangan ahli-ahli sukan serta persatuan sukan negara, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan darjah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) serta JMW kepada beberapa atlet dan pengamal sukan.

Antaranya bekas pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Lim Teong Kim, atlet tenpin boling negara, Datuk Shalin Zulkifli dan Datuk Arivalagan a/l Ponniyah dari Persekutuan Karate Malaysia.

Manakala Afrita Ariany Nasril dari Persekutuan Gimnastik Malaysia dikurniakan JMW.

Penganugerahan itu adalah pengiktirafan atas khidmat bakti dan sumbangan besar terhadap kemajuan Wilayah Persekutuan.

Turut hadir pada istiadat tersebut adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Media Baharu