fb fb fb fb fb

Penugasan QRT Imigresen tangani kesesakan kaunter di KLIA dan KLIA2

SEPANG, 1 Februari - Seramai 30 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditugaskan dalam Pasukan Tindakan Pantas (QRT) bagi mengatasi masalah kesesakan di kaunter pemeriksaan masuk pelawat asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata kumpulan berkenaan dibahagikan kepada dua pasukan termasuk yang ditugaskan di KLIA2.

Katanya, pegawai QRT terdiri daripada mereka yang bertugas di sektor operasi dan perkhidmatan sokongan termasuk penguatkuasaan dan telah diberikan pendedahan dan latihan sebelum ditugaskan di kaunter-kaunter berkenaan.

(Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud)

"Pasukan QRT ini akan bertugas pada waktu puncak bermula 2 petang sehingga 8 malam membabitkan 26 kaunter di KLIA dan faktor kesesakan waktu puncak ini disebabkan oleh faktor pemeriksaan ketat terhadap pelawat asing dari negara berisiko tinggi," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan QRT di KLIA, di sini.

Tambah Khairul, inisiatif QRT ini juga akan dilaksanakan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Imigresen dan Kastam Sultan Abu Bakar (KSAB) bermula 6 Februari ini.

"Pada masa ini seramai 40 pegawai dari sektor operasi sedang menjalani latihan berkenaan prosedur operasi standard (SOP) kemasukan," katanya.

Media Baharu