fb fb fb fb fb

KPDN kuat kuasa larangan jual petrol RON 95, diesel kepada kenderaan asing di Perlis mulai hari ini

(Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil (tengah) pada Program
Advokasi Larangan Penjualan Petrol RON 95 dan Diesel Kepada Kenderaan Nombor Pendaftaran Asing
di sebuah stesen minyak di Titi Tinggi, Padang Besar, Perlis)

PADANG BESAR, 1 Februari - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menguatkuasakan larangan penjualan petrol RON 95 dan diesel kepada kenderaan berpendaftaran asing di Perlis bermula hari ini.

Ia berikutan rentetan isu kenderaan berpendaftaran asing yang kerap berulang-alik ke stesen-stesen minyak di Perlis terutamanya yang berdekatan sempadan untuk mengisi bahan bakar itu dan kemudiannya diseludup ke Thailand.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil, bagi menjayakan langkah proaktif itu, pihaknya telah melaksanakan advokasi kepada kesemua 40 pengusaha stesen minyak seluruh Perlis sejak 27 Januari lalu.

Advokasi itu bagi memberi penerangan berkaitan larangan penjualan petrol RON 95 dan diesel kepada semua kenderaan asing termasuk motosikal di seluruh Perlis.

Selain stesen minyak, advokasi turut melibatkan kenderaan berpendaftaran asing terutamanya di Kompleks ICQS Wang Kelian dan Padang Besar dengan 250 notis diedarkan.

(KPDN menguatkuasakan larangan penjualan petrol RON 95 dan diesel kepada kenderaan
asing di Perlis mulai hari ini)

Walaupun larangan tersebut berkuatkuasa mulai hari ini, KPDN turut menetapkan tempoh advokasi sehingga 14 Februari ini kepada kesemua pengusaha stesen minyak bagi memberi ruang terhadap pematuhan arahan itu.

"KPDN akan sentiasa mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan dan melakukan pemeriksaan secara berkala ke atas stesen minyak di seluruh negeri Perlis. Selain itu, untuk makluman, KPDN juga akan sentiasa bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang lain seperti PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan sebagainya, khususnya di sempadan negara bagi membantu pelaksanaan arahan ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung dengan aktiviti ini, sekiranya masih berlaku aktiviti ini menyalurkan maklumat lengkap kepada pihak kementerian," kata beliau kepada media selepas Program Advokasi Larangan Penjualan Petrol RON 95 dan Diesel Kepada Kenderaan Nombor Pendaftaran Asing di sebuah stesen minyak yang terletak di Titi Tinggi, di sini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof dan Pengarah KPDN Negeri Peris, Norazah Jaapar.

Media Baharu