CYBERJAYA, 3 Julai – Laporan siasatan berhubung insiden letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu dilaksanakan secara bebas dan telus tanpa sebarang campur tangan daripada mana-mana pihak.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak terlibat dalam proses siasatan berkenaan, yang dikendalikan sepenuhnya oleh pihak berkuasa.
“Kerajaan negeri tidak terlibat langsung. Mereka (pihak berkuasa) hanya memanggil kami sebagai saksi dan jumlah keseluruhan saksi yang terlibat adalah seramai 212 orang,” katanya kepada media selepas menghadiri satu majlis di sini, hari ini.
Mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mempertikaikan laporan siasatan tersebut, Amirudin menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan berniat mengelirukan masyarakat.
“Ada pihak yang mempertikaikan, tetapi tidak semestinya laporan itu tidak betul. Tindakan tergopoh-gapah terus menuduh seolah-olah ditipu atau ‘dispin’ adalah satu ‘spin hidup’ yang hanya mempertikaikan tanpa asas,” tegasnya.
Beliau menambah, jika terdapat pihak yang tidak berpuas hati, mereka boleh menyemak dan meneliti semula kandungan laporan siasatan berkenaan.
Amirudin turut memaklumkan bahawa laporan penuh siasatan akan dibuka kepada orang awam, selepas mendapat kebenaran rasmi daripada pihak berkaitan.