KUALA LUMPUR, 4 Julai - Kementerian Kewangan (MOF) bersetuju untuk memberi kemudahan kepada pihak industri dalam tempoh peralihan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bermula 1 Julai 2025.
Inisiatif itu dilaksana selepas mengambil maklum balas dan permohonan diterima daripada industri mengenai kesukaran untuk mematuhi kesemua keperluan operasi di bawah perubahan SST.
"Kerajaan MADANI cakna terhadap persediaan pentadbiran yang perlu dilaksanakan oleh penyedia perkhidmatan bercukai di bawah peluasan skop SST mulai 1 Julai 2025.
"Justeru, MOF bersetuju untuk memberi kemudahan kepada pihak industri dalam tempoh peralihan perubahan SST," menurut MOF dalam satu kenyataan hari ini.
Selari dengan pengumuman itu, pembekal perkhidmatan kini diberi kelonggaran untuk mengemukakan penyata secara manual bagi tempoh bercukai dari 1 Julai hingga 30 September 2025.
MOF ambil maklum kesukaran dihadapi pihak industri
"Kerajaan MADANI memahami pembekal perkhidmatan yang memerlukan masa tambahan untuk menaik taraf sistem bagi pematuhan dan pengenaan cukai.
"Walau bagaimanapun, Cukai Perkhidmatan (CP) masih wajib dikenakan dan dikutip dalam tempoh tersebut," katanya.
Sementara itu, pengilang berdaftar diwajib mengenakan dan mengutip Cukai Jualan (CJ) mulai 1 Julai serta layak memohon pengecualian ke atas bahan mentah yang digunakan dalam pengilangan barang bercukai.
Bagi pengekalan pengecualian cukai yang telah diluluskan sebelum 1 Julai, akan terus menikmati pengecualian tersebut tertakluk kepada tempoh dan syarat ditetapkan.
Namun, sekiranya syarikat mengilang barang siap bercukai selepas 1 Julai dan telah mencapai nilai ambang ditetapkan, mereka wajib berdaftar sebagai pengilang berdaftar dan boleh memohon pengecualian melalui portal MySST.
MOF berharap kemudahan tersebut akan terus membantu melancarkan urusan perniagaan serta memudahkan pematuhan oleh syarikat yang terlibat dalam peluasan skop SST.