fb fb fb fb fb

Pendekatan 'Game Changer' penting untuk transformasi RTM

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman. - Foto / RTM

KUCHING, 4 Julai – Transformasi Radio Televisyen Malaysia (RTM), memerlukan pendekatan 'game changer' yang berani dan kreatif agar terus relevan kepada penonton masa kini, khususnya golongan muda.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, pendekatan baharu yang bersifat luar kotak penting untuk mengangkat RTM sebagai jenama kandungan yang bukan sahaja dipercayai malah, diminati.

Ke arah itu, beliau sendiri telah mengadakan mesyuarat pengurusan strategik baru-baru ini.

Banyak idea baharu yang kreatif telah diketengahkan dan akan diaplikasikan dalam bentuk kandungan kepada penonton.

“Kita perlu berani berubah. Kalau tidak, kita akan hilang. Kita perlu hasilkan kandungan baharu yang benar-benar 'relatable' dengan penonton, terutama generasi muda yang menonton di platform digital seperti TikTok,” katanya.

Datuk Suhaimi berkata demikian selepas sesi Townhall bersama lebih 200 kakitangan RTM Sarawak, termasuk secara dalam talian di Kuching pagi tadi.

Beliau menegaskan, idea-idea segar perlu dirai dan digilap, termasuk melalui kerjasama bersama anak muda dari pelbagai latar belakang di semu peringkat.

Menurutnya, purata usia penonton RTM di platform digital kini berada bawah 30 tahun, sekali gus menunjukkan keperluan untuk terus mendekati golongan tersebut dengan pendekatan yang sesuai.

Tegas beliau lagi, RTM tidak boleh lagi bergantung pada pendekatan lama, sebaliknya tampil dengan kandungan yang mampu menjadi pengubah keadaan dan peneraju dalam industri penyiaran.

ASHRIQ FAHMY AHMAD