KUALA LUMPUR, 4 Julai- Projek Aplikasi Mudah Alih Hentian Komuniti oleh penyelidik Universiti Malaya (UM) meraih Anugerah Perak di Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2025.
Projek tersebut diketuai oleh Dr. Yong Adilah Shamsul Harumain dari Fakulti Alam Bina UM, dengan kerjasama Dr. Nikmatul Adha, Dr. Nur Farhana Azmi dan Dr. Asmiza Abdul Sani, serta pelajar tahun akhir dari Fakulti Alam Bina dan Fakulti Sains Komputer & Teknologi Maklumat.
Aplikasi mengguna pakai model Machinoeki dari Jepun itu, dibangunkan berdasarkan konsep Hentian Komuniti yang diperkenalkan secara fizikal di Taiping pada 2017 dengan objektif menyokong pergerakan pejalan kaki di bandar.
"Pembangunan versi aplikasi mudah alih dimulakan melalui kajian kes di SS15, Subang Jaya, yang memfokuskan pada pemetaan digital, audit kebolehcapaian dan maklum balas pengguna.
Satu ciri utama ialah audit tandas berdasarkan gabungan piawaian antarabangsa dan kriteria hospitaliti tempatan.
Premis seperti kedai, restoran atau perpustakaan dinilai dari segi akses, kebersihan, keselamatan dan keterbukaan kepada umum," kata kenyataan yang dikeluarkan UM.
Versi baharu aplikasi akan menampilkan kandungan video sejarah oleh komuniti Taiping menerusi projek Old Timers of Taiping (OTT) bagi menambah nilai pengalaman pengguna.
Fungsi utama aplikasi termasuk paparan hentian rehat mesra pengguna, sistem penilaian kebersihan, serta platform pendaftaran premis sebagai tuan rumah hentian.
"Selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan serta aspirasi Malaysia MADANI, projek ini membuktikan bahawa inovasi kecil yang berfokuskan manusia dan nilai hospitaliti boleh membawa perubahan besar dalam memperkukuh mobiliti bandar yang inklusif dan berdaya huni," jelas kenyataan itu.