fb fb fb fb fb

Kerjasama rentas sempadan kukuh ilmu & budaya UiTM-RUTS

Para pelajar diberi peluang melakukan pemerhatian lapangan berkaitan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan kelapa laut Afrika untuk produk agro-pelancongan tempatan

SONGKHLA, 4 Julai- Pendedahan kepada aktiviti rentas kurikulum dan penerapan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) menjadi nilai tambah penting kepada pelajar Diploma Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Perlis.

Ia sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.

Program Kem Perakaunan Antarabangsa 2025 (IAAS) melibatkan seramai 25 pelajar Fakulti Perakaunan UiTM Perlis itu menjalin kerjasama bersama pelajar Rajamangala University of Technology Srivijaya (RUTS), Thailand dalam usaha memperkasa pengaplikasian ilmu secara lapangan.

Menerusi aktiviti di Nad Da Le, Songkhla, para pelajar diberi peluang melakukan pemerhatian lapangan berkaitan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berasaskan kelapa laut Afrika untuk produk agro-pelancongan tempatan.

Projek keusahawanan sosial itu turut memberi impak besar kepada masyarakat setempat dengan merangsang pertumbuhan ekonomi mikro secara menyeluruh.

Lebih daripada sekadar pemindahan ilmu, inisiatif berkenaan berjaya mewujudkan interaksi budaya dua hala, sekali gus memperkukuh kefahaman antara pelajar Malaysia dan Thailand.

"Kami sebenarnya tidak berbahasa Melayu, hanya tiga wilayah, iaitu Yala, Tani dan Narathiwat sahaja yang menggunakan bahasa itu. Jadi sejak pelajar Malaysia berada di sini, saya dapat bertukar bahasa dan melancarkan lagi pertuturan Bahasa Melayu saya," kata pelajar RUTS, Bibismi Hayiduereh.

Sementara itu, pelajar UiTM Perlis, Mohamad Aflah Haikal Abdul Halim menyifatkan pengalaman itu sebagai platform membina jaringan dan membuka ruang kolaborasi rentas budaya.

"Sebagai peserta, saya nampak penting untuk kita keluar dari kelompok sendiri dan mula berinteraksi. Kita boleh bersembang dengan pelajar lain, bina hubungan dan jalin kolaborasi pada masa akan datang," katanya.

Kerjasama antarabangsa itu juga seiring dengan semangat keterangkuman dan kolaborasi ASEAN, seiring peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE