PUTRAJAYA, 3 Julai - Sebanyak 335 kes penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) oleh agensi-agensi penguat kuasa rakan strategik sepanjang 1 Januari hingga 31 Mei 2025.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, umlah itu merupakan sebahagian daripada 2,811 kes yang direkodkan KPDN sejak 2021 hasil kerjasama strategik bersama pelbagai agensi penguatkuasaan.
“Kita berfungsi menerusi serahan kes tangkapan daripada agensi berkenaan dan kadangkala turut melaksanakan operasi bersepadu bersama mereka,” katanya.
"Jadi kita mengharapkan kerjasama sedia ada ini dapat kita perkasakan dalam kita melaksanakan kefungsian KPDN khususnya yang terkait dengan isu penyelewengan barang kawalan dan barang kawalan subsidi dan juga penyeludupan subsidi ini ke negara-negara luar", ujarnya pada Majlis Apresiasi Rakan Strategik Penguatkuasaan Sempena Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN Ke-53, di sini, hari ini.
Tambah beliau, antara agensi yang mencatatkan jumlah serahan tertinggi adalah Pasukan Gerakan Am (1,146 kes), Pasukan Polis Marin (866 kes), Polis Diraja Malaysia (661 kes) dan Angkatan Tentera Malaysia (69 kes).
Datuk Armizan turut memaklumkan bahawa peningkatan konsisten dalam jumlah serahan kes menggambarkan kejayaan kerjasama berterusan antara KPDN dan agensi-agensi penguatkuasaan, sekali gus memperkukuh pelaksanaan operasi bersepadu yang lebih tersusun dan berfokus.