fb fb fb fb fb

Rakyat Digalak Manfaatkan Pusat NADI sebagai Hab Maklumat dan Komuniti Digital

Rakyat digalak memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan yang ditawarkan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI). - Foto / RTM

PUTRAJAYA, 4 Julai – Rakyat digalak memanfaatkan sepenuhnya perkhidmatan yang ditawarkan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), sebagai hab utama bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti individu dan komuniti berasaskan teknologi digital.

Ketua Pejabat NADI, Dr. Mohd Arif Adenan berkata, pusat berkenaan telah dinaik taraf sebagai Pusat Perkhidmatan Digital NADI yang berperanan menyediakan capaian Internet secara kolektif dan pusat rujukan maklumat sahih serta terkini kepada masyarakat.

"Pusat ini berteraskan lima perkara utama yang memfokus kepada aspek keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran serta sokongan kepada inisiatif kerajaan," jelasnya.

Tambah Dr Mohd Arif, kesemua 1,099 pusat NADI di seluruh negara dibuka secara percuma untuk kegunaan segenap lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum, agama, usia mahupun latar belakang.

Selain menawarkan akses Internet secara kolektif, NADI turut berperanan memperkasa ekonomi dan taraf sosial masyarakat melalui pendedahan kepada teknologi komputer, celik digital serta pelaksanaan aktiviti berimpak tinggi di peringkat komuniti.

"NADI hari ini boleh diibaratkan sebagai ‘balai raya digital’ baharu."

"Ia bukan sekadar ruang pertemuan komuniti, tetapi dilengkapi dengan capaian internet, maklumat sahih serta perkhidmatan pintar yang memberi nilai tambah kepada kehidupan masyarakat," katanya.

Orang ramai dalam pada itu diseru agar memanfaatkan kemudahan tersebut dengan sebaiknya.

Usaha tersebut sejajar aspirasi kerajaan memperkasa rakyat melalui teknologi dan digitalisasi ke arah pembangunan negara yang lebih inklusif dan progresif.

Beliau berkata demikian dalam temu bual bersama RTM di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyberjaya.

ASHRIQ FAHMY AHMAD