fb fb fb fb fb

Murid sekolah rendah dikesan ambil dadah perangsang ATS, dibeli dalam talian

Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan

KOTA BHARU, 3 Julai -Trend penyalahgunaan dadah jenis perangsang, Amphetamine-Type Stimulants (ATS) dalam kalangan remaja semakin membimbangkan.

Lebih parah apabila sebahagian mereka dikesan mengambil bahan terlarang itu bermula dari sekolah rendah.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, isu berkenaan telah dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Kementeriannya sedang mendapatkan maklumat lanjut bagaimana dadah tersebut boleh diakses dengan mudah oleh golongan muda.

"Ibu bapa perlu pastikan, apabila telefon bimbit diberi kepada anak-anak, mereka perlu dipantau.

Ramai yang memberitahu, pembelian dilakukan secara dalam talian termasuk menerusi aplikasi Whatsapp. Jadi kami sedang dapatkan bantuan daripada agensi lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk pastikan kita hapuskan akses ini," katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang media selepas melawat Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Kota Bharu, di sini.

Menurut data terkini Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 117,478 individu berusia 15 hingga 39 tahun dikesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah sepanjang tahun 2024.

Kelantan antara negeri yang mencatatkan kadar tertinggi di negara ini.

"Sehubungan itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyeru pihak yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah supaya tampil mendapatkan rawatan di institusi AADK secara percuma dan tanpa sebarang implikasi undang-undang.

Bagi PUSPEN Kota Bharu, rawatan disediakan khusus untuk remaja lelaki berumur 13 hingga 25 tahun, secara sukarela," tambahnya.

Hannah berkata, kadar pemulihan juga sangat positif apabila 79 peratus daripada klien yang menyertai program rawatan berjaya pulih sepenuhnya.

Dalam perkembangan berkaitan, KBS menjalinkan kerjasama dengan AADK dan pawagam TGV untuk menayangkan video kesedaran mengenai PUSPEN sebelum tayangan filem bermula.

Ia antara inisiatif mendekati belia secara lebih kreatif dalam usaha membentuk generasi muda yang bebas gejala sosial.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN