fb fb fb fb fb

Lelaki maut dirempuh kenderaan pacuan empat roda

Foto RTM

MIRI, 3 Julai - Seorang lelaki maut selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Pan Borneo berdekatan Bukit Song, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Farhan Lee Abdullah berkata kemalangan maut tersebut berlaku kira-kira pukul 2.45 petang.

Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan mangsa yang berusia 46 tahun memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu DMax, sebelum itu terlibat dalam kemalangan kendiri dan terbabas di bahu jalan.

Ketika sedang menunggu bantuan daripada rakannya, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu lelaki berusia 40 tahun hilang kawalan dan merempuh mangsa yang sedang berada di bahu jalan.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Faizul di talian 014- 858 2582 atau mana-mana balai polis berhampiran.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN