fb fb fb fb fb

Speed Selangor dilancar Oktober Ini

Menteri Besar Selangor, Datuk’ Seri Amirudin Shari / Foto RTM

CYBERJAYA, 3 Julai – Selangor bakal melaksanakan Dasar Speed Selangor bermula Oktober depan sebagai usaha mempercepatkan proses kelulusan perniagaan dan pelaburan di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk’ Seri Amirudin Shari, berkata dasar itu adalah hasil penyelarasan beberapa inisiatif yang telah dilaksanakan sebelum ini di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk program Express Green Approval.

“Ia adalah rangkuman daripada program yang telah direncana oleh pihak berkuasa tempatan sebelum ini. Pihak berkuasa tempatan mempunyai Express Green Approval tersendiri.

“Sekarang kita rangkumkan semua, diletakkan dalam satu landasan dan semua kita akan adaptasi,” katanya.

Menurut beliau, walaupun pelaksanaan rasmi dijadualkan Oktober, kerajaan negeri telah memulakan sesi latihan dan percubaan di peringkat dalaman.

“Semuanya sudah siap. Kalau kita hendak buat 1 Julai pun boleh, atau 1 Ogos pun boleh. Saya cuba nak ‘test’ dulu, pegawai kita berlatih dalam pelaksanaannya,” ujarnya lagi.

Tambah beliau,Speed Selangor bukan sahaja mempercepatkan proses kebenaran merancang, khususnya bagi pembangunan kawasan industri, malah memperkenalkan platform aduan rakyat secara langsung, sebagai sebahagian daripada penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Sepang 2035 (Penggantian) di sini, hari ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD