fb fb fb fb fb

Dialog Islam-Konfusian beri manfaat besar kepada Malaysia-China

Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar ditemui selepas Majlis Pengenalan Pemimpin dan Pemikir Baharu UIAM.

GOMBAK, 3 Julai - Hala tuju dialog Islam-Konfusian yang memberi manfaat besar kepada Malaysia dan China akan menjadi fokus utama menerusi penganjuran kali keduanya yang dijadual berlangsung di Beijing tahun depan.

Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar berkata, dialog tersebut penting dalam usaha merealisasikan aspirasi Kerajaan MADANI untuk membina hubungan lebih erat dengan China, melangkaui aspek ekonomi dengan memasuki wilayah kepercayaan peradaban.

“Insya-Allah, tahun depan China akan menjadi tuan rumah Dialog Islam-Konfusian. Delegasi dari Malaysia akan hadir untuk membincangkan hala tuju seterusnya yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengenalan Pemimpin dan Pemikir Baharu UIAM di sini.

UIAM telah dilantik sebagai institusi pelaksana bagi Memorandum Persefahaman (MoU) Dialog Peradaban Islam-Konfusian antara Malaysia dan China yang dimeterai semasa lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Kuala Lumpur pada April lalu.

Menzahirkan penghargaan atas pemilihan UIAM sebagai institusi pelaksana MOU berkenaan, beliau berkata kelebihan UIAM yang terdiri daripada pemikir hebat dalam bidang Islam-Konfusian akan dimanfaatkan sebaiknya.

"Kebetulan, UIAM mempunyai ramai pelajar yang membuat Sarjana, Ijazah Sarjana dan Ijazah Sarjana Muda yang datang daripada China dan mereka merupakan China Muslim. Selain itu, kita juga mempunyai pensyarah daripada China," jelas beliau lagi.

Pada 16 Jun lalu, UIAM dan Persatuan Konfusian Antarabangsa (ICA) selaku institusi pelaksana bagi Kerajaan China telah menganjurkan sesi dialog pertama bertemakan Dialog Peradaban Islam-Konfusianisme dengan menghimpunkan pemikir dan pakar daripada kedua-dua negara.

TUN JULIA MOHD TAHIR