KOTA BHARU, 9 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan siasatan kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, akan dijalankan secara telus tanpa sebarang tolak ansur.
Beliau menegaskan, individu yang bertanggungjawab akan diheret ke muka pengadilan tanpa kompromi.
“Kita juga tak mahu benda ini jadi bahan politik. Pepatah Melayu sebut, jangan membina istana di atas pusara orang. Tengah korban, kamu fikir nak guna untuk bina istana, jangan. Arahan kita jelas, tiada ada tolak ansur. Kita minta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah di Kuala Lumpur tapi di Putrajaya turun dan pantau sendiri supaya jangan timbul masalah. Ini Kerajaan MADANI, tak ada nak lindungi pembunuh siapa pun,” katanya.
Menurut Datuk Seri Anwar, kes tersebut tidak boleh dipandang ringan, namun orang ramai diminta tidak membuat andaian atau spekulasi yang boleh mengundang fitnah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Rancakkan Madani Kelantan dan Peluncuran Program Aku Kasih Malaysia di Dewan Utama Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.
Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar berkata, tiada apa yang perlu dibimbangi meskipun ada pihak yang mengaitkan kematian remaja perempuan berusia 13 tahun itu dengan orang kenamaan.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan pihak berkuasa menggali semula mayat Allahyarham yang dikebumikan selepas didakwa terjatuh dari bangunan asrama.
Tindakan itu antara beberapa arahan yang dikeluarkan bagi membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan termasuk prosedur bedah siasat ke atas jenazah.