fb fb fb fb fb

Sambutan PHOAS hargai sumbangan masyarakat Orang Asal

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang (dua kanan) ketika hadir merasmikan Sambutan Hari Orang Asal Sedunia di Tadom Hills Resort, Banting hari ini/ Foto BERNAMA

BANTING, 9 Ogos - Sambutan Perayaan Hari Orang Asal Sedunia (PHOAS) 2025 hari ini menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran terhadap hak, identiti dan sumbangan masyarakat Orang Asal dalam pembentukan identiti negara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata tema tahun ini iaitu “Pertahankan Bumi, Pulihkan Tanah, Hijauan Semula Masa Depan Melalui Kearifan Orang Asal” mengiktiraf peranan komuniti itu dalam memelihara alam sekitar serta warisan bumi.

“Inilah satu langkah yang diiktiraf supaya kepelbagaian kita ini, diversiti yang kita ada ini diiktiraf dan disambut terima menjadi warisan aset kita yang amat bernilai,” kata beliau ketika ditemui selepas merasmikan majlis berkenaan, di Tadom Hill Resorts, di sini hari ini.

Aaron menegaskan kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) memberi tumpuan serius kepada usaha meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli, termasuk penyemakan semula Akta Orang Asli 1954 bagi memperkukuh perlindungan hak tanah, akses pendidikan, dan pembangunan infrastruktur.

Langkah itu turut disokong pelaksanaan pelan tindakan bersepadu, penubuhan lembaga adat untuk memperkasa kepimpinan tradisional, serta peluasan peluang pendidikan dan latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) kepada generasi muda.

Kerajaan juga komited bekerjasama dengan Jaringan Orang Asal SeMalaysia (JOAS), pertubuhan masyarakat, dan agensi berkaitan bagi memastikan dasar negara kekal inklusif, responsif dan selaras dengan keperluan komuniti.

Sambutan PHOAS 2025 turut mengiktiraf warisan budaya, bahasa dan seni masyarakat Orang Asal sebagai aset kebangsaan yang penting untuk dipelihara, selain mengandungi pengetahuan tradisional yang relevan dalam menangani isu global seperti perubahan iklim dan kemusnahan biodiversiti.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN