KUALA TERENGGANU, 26 Oktober – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu menerima kelulusan tujuh projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, (RMK13) Rolling Plan Pertama (RP1) bagi tahun 2026 dengan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM410.37 juta.
- JPS Terengganu terima kelulusan tujuh projek baharu RMK13 RP1 bernilai RM410.37 juta untuk 2026.
- Projek utama termasuk Kawalan Hakisan Pantai Rusila (RM140 juta) dan RTB Sungai Buaya (RM198.17 juta).
- Projek tambahan melibatkan pemuliharaan sungai, sistem saliran dan pelan induk tebatan banjir di Kemaman dan Dungun.
- Inisiatif ini dijangka memperkukuh keselamatan penduduk, pengurusan banjir dan perlindungan pantai negeri.
Kelulusan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur sumber air, pengurusan banjir serta perlindungan pantai di negeri ini.
Pengarah JPS Terengganu, Ir. Osman Abdullah berkata, daripada jumlah itu, projek awal yang diluluskan adalah Projek Pengawalan Hakisan Pantai Rusila, Marang dengan kos RM140 juta; Projek Rancangan Tebatan Banjir Anak Sungai Ibai, Kuala Terengganu RM10 juta dan Projek RTB Sungai Buaya, Kuala Nerus bernilai RM198.17 juta.
“Kelulusan yang juga diberi iaitu 18 projek sambungan yang telah ada dengan jumlah keseluruhan bagi dibawah Kerajaan Persekutuan untuk RP1 (RMK13) berjumlah RM2.1 billion dibawah JPS”, katanya.
Turut diluluskan adalah Projek Pemuliharaan Sungai bagi Mengurangkan Risiko Banjir bernilai RM25 juta, Projek Sistem Saliran Line 28 di Kampung Mak Chili Paya, Kemaman RM29.5 juta; Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) Kemaman RM3.2 juta serta Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir Lembangan Sungai Dungun RM4.5 juta.
Katanya, projek-projek ini akan memberi impak besar terhadap keselamatan penduduk serta kesejahteraan alam sekitar, khususnya dalam mengurangkan risiko hakisan pantai dan banjir di kawasan berisiko tinggi.