fb fb fb fb fb

Trump puji usaha Malaysia damaikan Kemboja-Thailand

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berucap pada Majlis Pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dengan Thailand di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Oktober - Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menghargai usaha Malaysia sebagai perantaraan dalam mendamaikan konflik antara Kemboja dengan Thailand.

Trump menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh hebat dan bersejarah dalam usaha tersebut.

Ini termasuk memainkan peranan sebagai penghubung utama mempertemukan kedua-dua pemimpin tersebut untuk sesi perbincangan di Kuala Lumpur.

"Konflik ini sudah lama berlarutan tetapi kali ini berjaya dihentikan sebelum sempat merebak. Kedua-dua pemimpin menunjukkan rasa hormat yang tinggi antara satu sama lain. Perdana Menteri memainkan peranan penting dalam membantu mempertemukan kedua-dua pihak untuk perbincangan di Kuala Lumpur." katanya ketika berucap pada Majlis Pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dengan Thailand di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Beliau turut menzahirkan rasa kagum terhadap kejayaan kedua-dua negara yang menyelesaikan konflik dengan cepat.

Selain menyeru kedua-dua negara itu untuk memilih jalan kemakmuran dan keamanan, berbanding pertumpahan darah dan peperangan.

Jelas beliau, Amerika Syarikat akan terus memperkukuh hubungan perdagangan dan kerjasama dengan kedua-dua negara selagi keamanan dikekalkan.

Thailand dan Kemboja secara rasmi menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang menandakan langkah rasmi ke arah memulihkan keamanan di sepanjang sempadan yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Deklarasi tersebut memperkukuh persetujuan gencatan senjata yang dicapai pada Julai lalu hasil rundingan antara kedua-dua negara.

Pemeteraian itu disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ