KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Proses menggali semula mayat Allahyarham Zara Qairina akan dilaksanakan segera bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Komisioner Polis Datuk M. Kumar Muthuvelu, dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diambil selepas laporan siasatan kes tersebut diteliti dan dinilai oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Beliau menjelaskan, langkah itu bertujuan memperoleh maklumat serta bukti tambahan yang diperlukan untuk melengkapkan siasatan berhubung kematian pelajar tingkatan satu itu.
Proses berkenaan akan dilaksanakan berpandukan Seksyen 331 dan Seksyen 335 Kanun Tatacara Jenayah.
Sementara itu, PDRM menegaskan bahawa keadilan akan sentiasa ditegakkan dan siasatan dijalankan mengikut lunas undang-undang berasaskan fakta serta keterangan yang diperoleh.
Kertas siasatan yang lengkap akan dirujuk semula kepada AGC dalam masa terdekat.