fb fb fb fb fb

Siaran IPU dua kali sehari di RTM bermula esok - JAS

Bantu beri info terkini kepada orang ramai

PUTRAJAYA, 15 Mei - Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), akan memulakan siaran Indeks Pencemar Udara (IPU) dua kali setiap hari iaitu pada waktu pagi dan petang menerusi saluran RTM, bermula esok 16 Mei.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata kerjasama erat dengan METMalaysia, diyakini bukan sahaja mampu memperkukuh hubungan antara agensi, malah turut membantu orang ramai membuat keputusan harian yang lebih bijak khususnya berkaitan kesihatan dan aktiviti luar.

“Kerjasama dengan METMalaysia ini, membolehkan data dan ramalan cuaca serta kualiti udara digabungkan secara lebih efektif, sekali gus meningkatkan kecekapan dalam membuat penilaian dan mengambil tindakan yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Abdul Latiff berkata JAS dan METMalaysia percaya, usaha itu bukan sahaja memperkukuh peranan agensi masing-masing dalam pengurusan alam sekitar, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih lestari, berdaya tahan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata pemantauan IPU dijalankan selama 24 jam oleh pegawai JAS melalui Pusat Kawalan Alam Sekitar Nasional, yang berfungsi sebagai pusat kawalan utama negara dalam memantau bacaan IPU secara masa nyata di seluruh negara, yang bertujuan memastikan kualiti udara kekal terkawal dan mematuhi Standard Kualiti Udara Ambien Malaysia.

“Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JAS dalam mengurangkan impak pencemaran terhadap kesihatan awam, serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara menghadapi sebarang insiden pencemaran udara termasuk jerebu,” katanya.

Orang ramai juga digalakkan untuk terus merujuk aplikasi MyJAS EQMS bagi mendapatkan maklumat IPU secara langsung dan terperinci. - BERNAMA

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN