KUCHING, 15 Mei- Sarawak merekodkan jumlah kelulusan tertinggi dalam Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) dengan 31 kesatuan menerima manfaat bernilai RM479,089 setakat ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 89 permohonan yang diterima di negeri berkenaan.
“Setiap permohonan dinilai berdasarkan kriteria kelayakan tertentu. Sekiranya tidak lulus tahun ini, permohonan masih berpeluang dipertimbang pada tahun hadapan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan PHEKS Zon Sarawak, hari ini.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kesatuan Pembantu Pengurusan Murid Jabatan Pendidikan Sarawak merupakan penerima bantuan tertinggi, iaitu sebanyak RM50,000 bawah Kluster Kajian Pergerakan Kesatuan Sekerja.
Program PHEKS merupakan inisiatif di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) yang bertujuan memperkukuh gerakan kesatuan sekerja di seluruh negara.
Ia meliputi bantuan kewangan untuk aktiviti pendidikan, latihan, pembangunan kapasiti dan penyelidikan berkaitan pergerakan kesatuan.
Bagi tahun 2024, KESUMA memperuntukkan RM10 juta untuk PHEKS, meningkat berbanding RM5.8 juta tahun lalu, selaras dengan komitmen kementerian dalam memperkasa suara pekerja melalui saluran yang sah dan tersusun.