fb fb fb fb fb

Rakyat diminta jangan leka walau kes HFMD menurun di Pulau Pinang

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Gooi Zi Sen ditemui selepas menghadiri program Bicara Prisma di konti Mutiara FM hari ini

GEORGE TOWN, 15 Mei- Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Pulau Pinang menunjukkan trend penurunan susulan pelaksanaan langkah pencegahan lebih ketat oleh pihak berkuasa kesihatan serta pusat jagaan kanak-kanak.

Sebelum ini, negeri itu mencatatkan peningkatan ketara kes HFMD, terutamanya melibatkan kanak-kanak bawah enam tahun di tadika dan pusat asuhan.

Minggu Epidemiologi ke-15 (6 hingga 12 April lalu) merekodkan 579 kes baharu HFMD di negeri berkenaan.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Gooi Zi Sen, berkata meskipun kes menurun sedikit, masyarakat tidak boleh ambil ringan isu kebersihan dan pemantauan kesihatan anak-anak.

“Kerajaan negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang telah mengadakan pelbagai sesi libat urus dengan pengusaha taska dan tadika bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa berada pada tahap optimum.

Kita lihat dari minggu lepas ke minggu ini, kadar peningkatan kes HFMD mula menunjukkan sedikit penurunan. Kita harap situasi ini akan terus terkawal,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Bicara Prisma di konti Mutiara FM hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengesahkan peningkatan mendadak kes HFMD di seluruh negara, terutama dalam kalangan kanak-kanak kecil.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar terus mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran secara konsisten serta mendapatkan rawatan segera sekiranya anak-anak menunjukkan simptom jangkitan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE