CYBERJAYA, 15 Mei - Susulan beberapa aduan yang diterima daripada orang awam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan berhubung satu hantaran di media sosial yang memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap.
Menurut kenyataan MCMC, seorang individu telah dipanggil untuk memberikan keterangan hari ini sebagai sebahagian daripada proses siasatan.
Sebuah telefon bimbit turut disita bagi membantu siasatan tersebut.
MCMC memaklumkan individu-individu lain yang berkaitan akan dipanggil jika perlu, sebelum kertas siasatan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
MCMC menegaskan Jalur Gemilang merupakan simbol rasmi negara yang membawa nilai kedaulatan dan perpaduan rakyat Malaysia.
Penyebaran ilustrasi yang tidak tepat, khususnya dalam talian, boleh menimbulkan kekeliruan serta menyentuh sensitiviti awam.
Sehubungan itu, MCMC menggesa orang ramai agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab ketika menghasilkan serta memuat naik kandungan di platform digital, terutama dalam era teknologi moden yang melibatkan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dan penjana kandungan digital.
Amalan kawal selia kendiri serta semakan fakta secara teliti amat penting bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang mengelirukan atau berpotensi mengganggu keharmonian masyarakat.
MCMC turut memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pelanggaran undang-undang, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu yang terlibat.
##