fb fb fb fb fb

PETRONAS anjur Energy Asia 2025, fokus peralihan tenaga serantau

Pengurus Besar Kanan, Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Arni Laily Anwaruddin

KUALA LUMPUR, 15 Mei- PETRONAS mengukuhkan komitmennya dalam menyatukan agenda peralihan tenaga menerusi penganjuran edisi kedua Forum Energy Asia 2025, yang akan berlangsung dari 16 hingga 18 Jun ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dengan kerjasama CERAWeek oleh S&P Global.

Pengurus Besar Kanan, Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan, Arni Laily Anwaruddin, berkata forum kali ini akan memfokuskan kepada teknologi dan kewangan dalam industri tenaga, selain memperluas penyertaan pelbagai pihak.

“Kita mahu libatkan lebih ramai peserta, bukan sekadar penggubal dasar dan pemimpin industri. Golongan muda juga penting supaya mereka sedar peluang yang wujud dalam landskap peralihan tenaga ini,” katanya kepada pemberita selepas program Petronas’s Lunch Escape: Road to Energy Asia di ibu negara, hari ini.

Beliau turut menjelaskan, forum itu bertujuan menyediakan ruang lebih besar kepada anak muda yang berminat dan komited terhadap ekosistem tenaga masa depan.

Energy Asia dijangka menjadi pemangkin utama dalam misi sifar bersih rantau ini, dengan menghimpunkan pemimpin industri, pembuat dasar dan profesional untuk merangka penyelesaian ke arah peralihan tenaga yang adil dan bertanggungjawab.

Bertemakan “Delivering Asia’s Energy Transition”, forum berkenaan akan mengetengahkan usaha kerjasama serantau dalam memperkukuh keselamatan tenaga dan menggalakkan penggunaan sumber tenaga boleh baharu.

Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada penerokaan penyelesaian penyahkarbonan, mempercepat proses pemindahan teknologi serta merangsang pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosio-ekonomi di rantau ini.

Antara tarikan utama acara tersebut ialah Energy Park, yang berfungsi sebagai hab pameran teknologi dan platform dialog inovatif. Ia akan menghimpunkan syarikat pemula (startups), ahli teknologi, pelabur, dan pembuat dasar bagi menampilkan inovasi terkini dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), bahan api rendah karbon, mobiliti masa depan, dan ekonomi kitaran.

PETRONAS menyasarkan forum itu menjadi medan perbincangan yang mampu menghasilkan penyelesaian praktikal, adil dan inklusif demi menyokong agenda peralihan tenaga rantau Asia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE