fb fb fb fb fb

Pelancongan Melaka raih rekod MBOR, terima lebih sejuta paparan digital di China

Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini

AYER KEROH, 15 Mei- Strategi Kerajaan Negeri Melaka mempromosikan pelancongan menerusi tokoh berpengaruh antarabangsa, Fan Bingbing, ternyata membuahkan hasil luar biasa apabila mencatat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

Melaka mencatat jumlah paparan digital tertinggi berkaitan pelancongan Malaysia di platform WeChat China bagi carian "Melaka" dan "Fan Bingbing", mengatasi capaian acara mega seperti Shanghai International Film Festival dan Weibo Movie Awards.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, lebih satu bilion carian direkodkan di platform itu, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan promosi tersebut.

Beliau turut memaklumkan, kehadiran pelancong dari China ke Melaka mencatat peningkatan ketara sebanyak 22.64 peratus sehingga Disember tahun lalu.

"Saya lihat strategi ini sangat berjaya, khususnya di pasaran China, Hong Kong dan Taiwan. Kerajaan negeri akan terus menggandakan usaha bagi menarik lebih ramai pelancong menjelang pelancaran Melawat Melaka 2.0 pada penghujung tahun 2025," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi pencapaian tersebut dalam satu majlis di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini.

Datuk Seri Ab Rauf turut optimis pemilihan Melaka sebagai tuan rumah pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 bakal memberi impak besar kepada industri pelancongan negara secara keseluruhan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE