KUALA LUMPUR, 15 Mei - Jabatan Komunikasi Komuniti (JKom) dan Jabatan Penerangan (JaPen) perlu memainkan peranan memberi pemahaman berterusan kepada masyarakat mengenai peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pemahaman mengenai perkara itu perlu terus dilakukan terutamanya di kawasan luar bandar; mengenai manfaat Kepengerusian ASEAN terutama dari aspek limpahan ekonomi.
"Maka, saya harap dalam kesempatan ini, sama ada JKOM, Jabatan Penerangan terutamanya, perlu membantu lebih ramai rakyat Malaysia memahami dan mengerti apakah maksud kita menjadi tuan rumah. Sudah pasti bagi kawan-kawan yang di kampung ataupun di tempat-tempat yang ada hotel akan menyaksikan ramai delegasi antarabangsa yang datang"
"Itu hanya sebahagian daripada limpahan ekonomi. Tapi lebih dari itu, kita berupaya untuk mengemudi, membantu, malah insyaAllah juga, memimpin beberapa perbincangan yang akan mendatangkan hasil yang baik untuk semua," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 Kementerian Komunikasi di Auditorium Seri Angkasa Angkasapuri Kota Media.
Dalam ucapan sama, Datuk Fahmi turut memaklumkan selain Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini, turut diadakan ialah ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China.
Jelasnya, sidang kemuncak itu amat penting buat negara dalam mengetengahkan isu dalam membantu negara anggota.
''Ini penting kerana kalau kita lihat, pengumuman AS untuk menggunakan tarif kepada pelbagai negara termasuk Malaysia dan rakan-rakan kita dalam ASEAN menunjukkan bahawa kita perlu mengambil langkah yang proaktif untuk membantu negara-negara ASEAN," katanya.