fb fb fb fb fb

Siar gambar kanak-kanak dalam prosiding jenayah langgar Akta Kanak-Kanak 2001

Datuk Seri Azalina Othman Said / Foto Fail

PUTRAJAYA, 10 Ogos - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengingatkan orang ramai agar tidak menerbitkan sebarang gambar kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding jenayah di media.

Azalina berkata tindakan itu boleh membawa kepada pertuduhan jenayah.

“Merujuk kepada kes yang melibatkan kanak-kanak dalam prosiding jenayah baru-baru ini, saya ingin mengingatkan orang ramai tentang subseksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001 yang melarang penerbitan sebarang gambar kanak-kanak yang terlibat dalam prosiding jenayah di media.

“Pelanggaran peruntukan ini boleh mengakibatkan pertuduhan jenayah. Kita perlu meletakkan kepercayaan kepada undang-undang dan proses sewajarnya apabila menangani kes yang melibatkan kanak-kanak,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Azalina merujuk kepada kes yang melibatkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang didakwa memandu tanpa lesen di Mahkamah Majistret, Sepang pada Isnin lepas.

Kanak-kanak lelaki itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu kereta di Taman Putra Impiana, Puchong, Selangor pada 7.30 malam, 28 Julai lepas.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN