KUCHING, 29 Mei- Seramai 189 pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak serta 97 pegawai pemantau harga digerakkan ke pasar awam, pasar tani dan pusat beli belah seluruh negeri bagi membuat pemeriksaan sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Gawai 2024.
SHMMP Hari Gawai 2024 dilaksana selama tujuh hari bermula hari ini hingga 4 Jun depan merupakan langkah kerajaan menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barang.
Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, terdapat lapan barang diwartakan di bawah skim tersebut iaitu ayam tua hidup, kepak ayam, bawang putih China, kubis bulat import Indonesia dan China, cili kering, babi hidup, daging babi (perut) serta daging babi (daging dan lemak).
SHMMP berkenaan dikuat kuasa menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
“Sebelum kita meletakkan harga ini, kita telah membuat sesi libat urus dengan pelbagai pihak terutamanya daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta wakil-wakil industri untuk memastikan masyarakat Sarawak yang akan menyambut Gawai dengan keadaan tenang, senang dan tidak ada masalah bekalan,” kata Datuk Azman semasa pelancaran SHMMP Hari Gawai 2024 di sebuah pasar raya di Kuching.
Tindakan tegas akan dikenakan kepada peniaga atau syarikat yang gagal mematuhi peraturan-peraturan SHMMP.
Sementara itu jelas beliau, 1,000 pemeriksaan SHMMP Hari Gawai 2023 dibuat tahun lepas dan hanya 18 kes direkodkan manakala tiada aduan berkaitan tidak patuh SHMMP Hari Gawai 2023 diterima.