SHAH ALAM, 29 Mei- Peningkatan penalti 10 kali ganda daripada sedia ada dan denda sebanyak RM50,000 kepada RM500,000 antara pindaan yang dimasukkan dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022.
Pindaan itu akan berkuat kuasa pada Jun depan.
Tujuannya, bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat, kondusif dan produktif.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, pewartaan akta tersebut selari dengan komitmen kerajaan bagi mengurangkan kadar kecederaan, kemalangan dan penyakit di tempat kerja.
Selain itu, menekankan penguatkuasaan undang-undang sedia ada agar pematuhan dapat dipertingkat.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) KESUMA, Datuk Norison Ramli sekali gus merasmikan Seminar Hebahan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 dan Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022 Peringkat Zon Tengah di Selangor.
Seminar anjuran Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) itu dihadiri pihak berkepentingan bertujuan memahami lebih mendalam berkait dengan perubahan akta tersebut serta mengaplikasi pengetahuan termasuk isu keselamatan dan kesihatan pekerja seluruh sektor industri.