fb fb fb fb fb

Tiga produk kosmetik ada racun berjadual - KKM

Foto KKM

KUALA LUMPUR, 29 Mei- Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata produk berkenaan ialah N Glowing EWSB yang dikesan mengandungi merkuri, Karisma Golden Turmeric Cream (mengandungi merkuri dan betamethasone 17-valerate) dan SL Two Intensive (mengandungi hydroquinone betamethasone 17-valerate).

Jelasnya, notifikasi bagi produk kosmetik berkenaan telah dibatalkan dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

"Penjual dan pengedar produk kosmetik ini telah didapati melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan perlu menghentikan penjualan serta pengedaran dengan serta-merta.

"Mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

"Manakala, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

"Bagi syarikat yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya menerusi kenyataan.

Beliau turut menasihati orang ramai yang menggunakan produk kosmetik itu untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan sampingan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM