IPOH, 24 Mac - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menggerakkan 195 penguat kuasa dan 75 pegawai pemantau harga sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata, ia bagi melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik bermula hari ini hingga 7 April depan.
Katanya, sebanyak 23 jenis barangan telah ditetapkan harga maksimum sepanjang SHMMP 2025 di negeri itu.
"Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
"Diingatkan juga menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan bawah skim ini melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," kata Kamalludin.
Beliau ditemui pada sidang media selepas mengadakan sesi walkabout dan Pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa di Meru, di sini.
Pengguna diminta menyalurkan maklumat kepada KPDN sekiranya terkesan dengan mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan menjual barangan melebihi harga maksimum dan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu.
Dalam perkembangan lain, pihaknya telah menjalankan sebanyak 5,547 pemeriksaan ke atas premis perniagaan dan makanan di Perak sepanjang pelaksanaan Op Pantau 2025.
Daripada jumlah itu, 41 kesalahan dikesan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM330,297 selain RM41,600 nilai kompaun dikeluarkan.