PORT DICKSON, 30 Januari- Sebanyak 26 kes pelanggaran arahan di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dilaporkan di Negeri Sembilan sejak 1 Januari lalu hingga semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata ia membabitkan kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.
"Kalau ada peniaga yang tidak mengikut peraturan yang telah ditetapkan memang kita akan ambil tindakan yang tegas dan mereka boleh dikenakan kompaun dan kes boleh dibawa ke mahkamah sekiranya melakukan apa-apa kesalahan," katanya selepas menghadiri Program Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2022 di sebuah pasar raya di Port Dickson.
Beliau berkata aktiviti penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan dan menyuluruh bagi memantau harga barangan, khususnya di lokasi jualan tumpuan pengguna.
Sementara itu, S. Veerapan memaklumkan tiada gangguan bekalan telur ayam dilaporkan berlaku di Negeri Sembilan di sebalik laporan berlaku isu kekurangan bekalannya di pasaran, kebelakangan ini.
Ujarnya hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan pada 28 dan 29 Januari lalu, bekalan telur ayam pelbagai gred didapati masih mencukupi dan serta diperoleh.
Pemeriksaan dilakukan di 29 buah premis yang meliputi pasar raya besar, pasar raya, pasar mini, kedai runcit dan pembekal telur di pasar-pasar awam.