GEORGE TOWN, 30 Januari - Seramai 135 anggota KPDNHEP Pulau Pinang akan melakukan pantauan di premis perniagaan ketika sambutan Tahun Baharu Cina.
Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghappar berkata tumpuan pihaknya adalah lokasi seperti pasaraya, pasar awam dan pasar tani.
"Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan para peniaga untuk tidak menaikkan harga barangan secara tidak munasabah dalam musim perayaan," katanya selepas Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di pasar Tanjung Bungah.
Hadir sama ialah Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan Negeri, Dato Abdul Halim Hussain.
SHMMP berkuat kuasa dari 29 Januari hingga 4 Februari ini dan KPDNHEP telah mengenal pasti 18 jenis barangan yang terdiri daripada ayam, telur ayam, sayur, barangan kering dan daging khinzir.
Bagi peniaga yang melakukan kesalahan menaikkan harga barang, boleh didenda di mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000.