fb fb fb fb fb

Sewaan helikopter ATM, langkah penjimatan kewangan - Adly

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari/BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 19 Oktober- Langkah penyewaan helikopter lebih menjimatkan kewangan.

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, kebanyakan helikopter yang disewa oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah melibatkan perkhidmatan logistik, berdasarkan keperluan semasa.

Tambahnya, aset berkenaan bagaimanapun tidak digunakan bagi tujuan pertempuran.

"Kita sudah kenal pasti yang mana kita boleh sewa. Ia lebih efektif daripada segi kewangan, terutama daripada aspek penyelenggaraan.

Yang harus kita buat pembelian, kita sudah kenal pasti. Masih memenuhi Kertas Putih Pertahanan sama ada memperoleh teknologi baharu atau menggunakan teknologi baharu melalui sewaan," kata Adly kepada pemberita selepas merasmikan Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM, di sini.

Sementara itu, mengulas mengenai situasi Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan, beliau berkata pihaknya sentiasa berkomunikasi bagi mendapatkan laporan harian anggota di negara berkenaan.

Setakat ini, kesemua anggota MALBATT berada dalam keadaan selamat.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2025 yang memperuntukkan RM21.2 bilion kepada kementerian itu.

Menurut Adly Zahari, peruntukan itu meningkat RM1.4 bilion berbanding tahun lalu.

Peningkatan peruntukan merangkumi kerja-kerja selenggara dan pembaikan serta perolehan aset-aset kententeraan baharu berjumlah RM5.8 bilion.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM