TANJUNG MALIM, 19 Oktober- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyambut baik hasrat Sarawak untuk bekerjasama dalam meningkatkan kecemerlangan bidang Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di negeri itu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat 1 (MEITD) Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata kunjungannya ke UPSI, telah membuka lembaran baharu untuk universiti pendidikan itu menyediakan platform dan usaha sama akademik.
Jelasnya, langkah itu bertujuan meningkatkan profesionalisme dalam kalangan guru-guru di Sarawak.
Selain itu, Dr. Annuar berkata MEITD berhasrat untuk menyediakan peluang dan biasiswa kepada guru-guru di Sarawak melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah dalam pelbagai bidang.
"UPSI menjadi pilihan bagi kerjasama strategik ini berikutan tawaran 95 program di peringkat pasca siswazah," tambahnya.
Menurut beliau, hampir 40 peratus guru-guru Sarawak yang mengajar subjek Matematik dan Sains adalah bukan opsyen.
“Kami berharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada guru tempatan untuk menyambung pengajian dalam bidang pendidikan kerana ia bukan sahaja akan membawa manfaat kepada guru sekali gus meningkatkan kecemerlangan pendidikan terutama bagi seluruh rakyat Sarawak” kata Dr. Annuar lagi.
Selain itu, perbincangan turut menyentuh mengenai usaha untuk menambah pengetahuan dan kemahiran dalam mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran.
Perkara itu selari dengan keperluan masa kini termasuk projek Yayasan Hasanah yang diterajui UPSI.
Beliau disambut oleh ahli pengurusan tertinggi UPSI dan sesi perbincangan dipengerusikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Suriani Abu Bakar.
"UPSI amat mengalu-alukan kunjungan ini dan bersediakan menawarkan program dan kursus yang bersesuaian dengan keperluan dan hasrat MEITD, terutamanya dalam bidang STEM," kata beliau.
Kunjungan itu melebarkan sayap UPSI dalam usaha memperluas program pengajian siswazah sekali gus mengukuhkan kedudukan UPSI sebagai universiti pendidikan di Malaysia.
"Dengan adanya kerjasama strategik seperti ini, diharapkan lebih ramai guru tempatan yang berminat untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana seterusnya kedoktoran dan melahirkan guru yang berkemahiran tinggi, berintegriti dan berdaya saing dalam bidang pendidikan, " ujar Dr. Annuar lagi.
Hadir sama Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman serta beberapa dekan fakulti.