fb fb fb fb fb

468 penduduk terjejas, berada di dua PPS di Perlis

Foto APM Perlis

KUALA PERLIS, 19 Oktober- Seramai 468 penduduk terjejas masih berlindung di dua pusat pemindahan sementara (PPS) susulan fenomena air pasang besar di sekitar Kuala Perlis.

Setakat pukul 8.00 malam tadi, jumlah berkenaan berkurang satu berbanding pukul 5.00 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Mohd Daud dalam satu kenyataan berkata, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai mencatatkan penduduk paling ramai terjejas iaitu 286 daripada 105 keluarga.

Manakala PPS IKBN Kuala Perlis kekal dengan 182 penduduk terjejas daripada 53 keluarga.

Bagaimanapun pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama-sama Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis terus memantau situasi fenomena air pasang besar.

Kenaikan terbaharu dijangka akan berlaku kira-kira pukul 1.49 pagi nanti mencecah sehingga 3.6 meter berbanding 3.7 meter yang dicatatkan awal pagi tadi.

Dalam pada itu Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyantuni penduduk terjejas berikutan air pasang besar di PPS Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis.

Ketika ini, 182 orang daripada 53 keluarga berlindung di PPS IKBN Kuala Perlis.

Baginda turut menzahirkan ucapan takziah atas ujian dan musibah yang menimpa dan berharap agar penduduk terjejas mengambil langkah serta tindakan perlu sepanjang menghadapi fenomena air pasang besar ini.

Tuanku Syed Faizuddin selaku selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) turut menyerahkan sumbangan MAIPS Peduli sebanyak RM4,000 kepada pengurusan PPS IKBN Kuala Perlis.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI