fb fb fb fb fb

Setiap ringgit mesti beri pulangan, Belanjawan 2026 tekankan tanggungjawab fiskal

Foto fail

KUALA LUMPUR, 10 Oktober -Belanjawan MADANI 2026 menegaskan komitmen kerajaan terhadap tanggungjawab fiskal dan pengurusan kewangan awam yang berdisiplin.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan akan memastikan setiap perbelanjaan memberi pulangan nyata kepada rakyat dan ekonomi negara.

Beliau yang juga merangkap Menteri Kewangan menjelaskan, kerajaan tidak mahu berbelanja tanpa hasil, sebaliknya memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan membawa manfaat langsung kepada rakyat.

“Kerajaan tidak mahu terperangkap dalam budaya berbelanja tanpa pulangan. Setiap satu ringgit mesti membawa hasil nyata, sama ada dalam bentuk pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan atau kesejahteraan rakyat,” katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI 2026 di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Datuk Seri Anwar, disiplin kewangan yang kukuh membolehkan kerajaan menurunkan defisit fiskal kepada sekitar 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026.

Manakala nisbah hutang dijangka berkurang kepada sekitar 63 peratus, sejajar sasaran jangka panjang Akta Tanggungjawab Fiskal.

Katanya, keberanian kerajaan melaksanakan reformasi subsidi dan sistem percukaian memberi ruang untuk menyalurkan dana kepada sektor bernilai tinggi demi manfaat jangka panjang rakyat.

“Kerajaan akan terus menumpukan kepada perbelanjaan berimpak tinggi, termasuk penjimatan daripada subsidi bersasar dan hasil pendigitalan sistem percukaian, bagi memastikan dana awam digunakan untuk pelaburan produktif,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa reformasi fiskal bukan sahaja untuk mengurangkan defisit.

Malah, ia juga sebagai langkah memastikan kebertanggungjawaban kerajaan dalam mengurus sumber negara secara telus dan berkesan.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN