KUALA LUMPUR, 10 Oktober - Belanjawan 2026 dirangka supaya dapat memulangkan kembali hasil negara kepada rakyat.
Demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2026 yang bertemakan ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’
"Belanjawan ini adalah saksi bahawa kerajaan memilih jalan kebangkitan dan pembaharuan nasional yang menyeluruh. Setelah berani mengusung reformasi, kini masa memulangkan hasil kepada rakyat.
"Selaku belanjawan sulung yang menyemangati Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Belanjawan 2026 menetapkan sembilan Tekad Utama berpaksikan tiga tonggak Ekonomi MADANI," jelas beliau.
Tekad itu ialah, Meluhur Tatakelola Terbaik, Memenuhi Keutamaan Rakyat, Menjuarai Ekonomi Bernilai Tinggi, Memacu Produk Ciptaan Malaysia, Memperkukuh Ketahanan Negara, Merapatkan Kesenjangan Mencipta Peluang, Menjami Kelangsungan Hidup Rakyat, Memperkasa Perkhidmatan Rakyat dan Membina Jati Diri, Membangun Nilai Insan.
Datuk Seri Anwar menambah, menghampiri tiga tahun pentadbiran MADANI, reformasi serta pembaharuan yang berani dan tuntas telah dilaksanakan dan mula menghasil anjakan yang membanggakan, terutamanya pada siling pertumbuhan negara dan lantai kesejahteraan rakyat.
Beliau juga menegaskan bahawa soal tatakelola sering ditekankan pimpinannya kerana undang-undang seperti Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) dan pindaan Akta Audit membantu meningkatkan keyakinan pelabur, melonjak Indeks Daya Saing Negara hingga 11 anak tangga.
Penekanan itu juga dapat memperkukuh nilai ringgit dan lebih penting ialah, menjana pekerjaan baharu untuk rakyat dan menurunkan kadar pengangguran kepada 3 peratus, iaitu yang terendah dalam tempoh sedekad.
Dalam soal penguatkuasaan, penekanan dibuat kerana rasuah, penyelewengan dan ketirisan merugikan negara. Katanya, penguatkuasaan tanpa pilih kasih dapat mengembalikan hasil negara yang hilang berbilion ringgit; seterusnya dapat membiayai dan menyegerakan pelaksanaan projek seperti Rancangan Tebatan Banjir dan Pan Borneo Sabah.
Berhubung subsidi, kerajaan telah bersusah-payah menyasarkan subsidi kerana subsidi pukal selama ini tiris kepada warga asing dan syarikat besar.
"Subsidi sepatutnya hak dan keistimewaan yang mesti dinikmati rakyat Malaysia. Disebabkan penjimatan subsidi diesel, kita dapat meringankan hidup rakyat melalui ikhtiar seperti SARA Untuk Semua yang diluncurkan Ogos lalu," jelasnya.
Peradan menteri turut berkata "bahawa kerangka besar Ekonomi MADANI adalah untuk rakyat, memastikan kita punyai kemampuan menyediakan kemudahan untuk rakyat, mencipta pekerjaan, menjana pendapatan dan meringankan kos sara hidup."
Belanjawan 2026 akan mengumpul dan mengoptimum sumber negara termasuk dana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lalu.