KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Malaysia terus melangkah gagah dalam usaha menjuarai ekonomi bernilai tinggi dengan memberi tumpuan kepada pelaburan strategik berpotensi tinggi seperti semikonduktor, peralihan tenaga dan digital.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun tahun hadapan dijangka lebih mencabar, kerajaan optimis untuk menarik lebih banyak pelaburan melalui pendekatan strategik yang menyeluruh, termasuk memudah cara urusan pelabur dan memperkukuh daya saing negara.
"Antara langkah utama ialah pelancaran Status ASEAN Business Entity (ABE) yang diselaraskan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi syarikat tersenarai awam dengan jejak pasaran luas di ASEAN dan syarikat bersaiz pertengahan yang berpotensi mengembangkan operasi. Inisiatif ini akan memudahkan pergerakan bakat mahir serta menyokong pertumbuhan syarikat Malaysia di peringkat rantau.
Selain itu, Skim Insentif Pejabat Keluarga Tunggal di Zon Kewangan Khas Forest City telah menunjukkan kejayaan besar apabila enam pejabat keluarga diluluskan dengan aset di bawah pengurusan (AUM) hampir RM400 juta dalam tempoh kurang setahun, manakala 30 lagi telah menyatakan minat. Malaysia kini berada di landasan tepat untuk mencapai RM2 bilion AUM menjelang akhir 2026," katanya.
Dalam masa sama, Investor Pass yang diterajui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan turut menawarkan kemudahan visa kemasukan berganda selama 12 bulan kepada pelabur asing.
MIDA juga akan lebih proaktif dengan menjemput syarikat multinasional dan bakal pelabur dalam sektor utama seperti elektrik dan elektronik (E&E) selain mengekalkan Residence Pass–Talent Fast Track bagi mempercepat kemasukan tenaga kerja berkemahiran tinggi tanpa perlu memenuhi syarat Pas Penggajian selama tiga tahun.