KUCHING, 10 Oktober - Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak menggesa semua pusat penjagaan kanak-kanak serta tadika di negeri itu agar terus berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kesihatan, susulan peningkatan kes influenza A di sekolah.
Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, pengusaha serta guru taska dan tadika perlu mengekalkan langkah pencegahan harian seperti mengambil suhu badan kanak-kanak serta memeriksa tangan, kaki dan mulut mereka sebelum dibenarkan masuk ke kelas.
“Jika kanak-kanak menunjukkan simptom penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) atau demam, ibu bapa perlu dimaklumkan serta dinasihatkan membawa anak mereka ke klinik untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa langkah pencegahan dan kawalan penularan Penyakit Seperti Influenza (ILI) di semua institusi pendidikan di bawah kelolaannya sedang dilaksanakan secara berterusan dan menyeluruh.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad, berkata usaha itu termasuk pengedaran surat pemakluman garis panduan pencegahan penularan jangkitan ILI pada 6 Oktober lalu, selain kerjasama dengan Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memantau situasi semasa.
Semalam, KKM memaklumkan sebanyak 97 kluster jangkitan influenza A dan B dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 40/2025 berbanding hanya 14 kluster pada minggu sebelumnya, dengan majoriti melibatkan institusi pendidikan.