fb fb fb fb fb

Sesi Town Hall Perolehan Program TV RTM perkasa sektor penyiaran

Datuk Suhaimi Sulaiman/ Foto RTM

ANGKASAPURI, 18 Julai - Sesi Town Hall Perolehan Program TV RTM Fasa 2 tahun 2025 menjadi bukti keterbukaan RTM dalam memberi peluang penggerak industri kreatif untuk memberi pandangan dalam usaha memperkasakan sektor penyiaran negara.

Lebih 600 syarikat pembekal hadir untuk mendengar penerangan mengenai perolehan pembekalan program TV Swasta Baharu, Luar Negara ('syndicated') dan Produk Siap Tempatan ('finished product').

Menurut Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman, dengan tema 'To The Next Level', RTM membuka lebih banyak peluang perolehan kepada syarikat penerbitan tempatan.

RTM juga meletakkan harapan yang tinggi kepada syarikat-syarikat terbabit agar dapat memberikan program berkualiti dan memberi komitmen terhadap proses penyediaan bahan siaran lebih cemerlang untuk tontonan rakyat.

Pembekalan program kali ini berdasarkan keperluan enam saluran TV RTM iaitu TV1, TV2, Okey, Berita RTM, Sukan RTM dan RTMKlik.

Kongsinya, pendaftaran syarikat dan 'proposal' (kertas cadangan) boleh dilakukan bermula 18 Julai sehingga 13 Ogos 2025 menerusi portal e-TVCMS.

Sementara itu, Pengarah dan Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli menghargai usaha RTM memberi ruang kepada lebih ramai penggiat industri untuk berkarya dan menyumbang kandungan berkualiti.

PTVM yakin kerjasama erat antara RTM dan pemain industri akan menjadikan landskap industri penyiaran negara terus berkembang dan menghasilkan kandungan berkualiti tinggi untuk tontonan rakyat Malaysia.

"PTVM percaya dengan kebersamaan dan kesatuan suara, kita dapat memperjuangkan kepentingan industri dengan lebih berkesan.

"Kami juga akan terus memainkan peranan sebagai badan semak imbang serta menjadi rakan strategik RTM dalam usaha menjadikan RTM sebagai stesen penyiar terbaik di Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi Town Hall Perolehan Program TV RTM Fasa 2 tahun 2025 di sini.

Selain itu, Penerbit dan Pelakon, Razali Hussain berkata penggiat industri kreatif menyambut baik perubahan positif RTM khususnya dalam penghasilan kandungan program lebih segar dan menarik, relevan dan memenuhi cita rasa penonton.

"Saya menyambut baik setiap perubahan positif RTM di bawah kepimpinan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman. Pelbagai pembaharuan dilaksana yang membantu penggiat industri kreatif lebih bersemangat menghasilkan program lebih berkualiti," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM