SEGAMAT, 9 Januari- 27 buah sekolah di Johor masih tidak beroperasi kerana dijadikan PPS dan masih digenangi air manakala 19 sekolah memulakan sesi persekolahan penggal ketiga hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin memaklumkan, secara keseluruhan sebanyak 46 sekolah di Johor dijadikan PPS susulan banjir melanda sejak 1 Januari lalu.
Ia melibatkan 15 buah di Segamat; Tangkak (13); Muar (tujuh); Mersing (empat); masing-masing tiga di Kota Tinggi dan Batu Pahat, serta Kluang (satu).
Jelas beliau, kementerian tidak akan membebankan pelajar yang tidak dapat menyertai sesi persekolahan kali ini dan memberi mereka ruang mendepani proses pascabanjir sebelum masuk semula ke sekolah.
Lebih 14,000 pelajar terjejas akibat banjir dibenarkan memakai pakaian biasa ke sekolah dan Kementerian Pendidikan turut memberi jaminan bekalan buku teks mencukupi bagi menggantikan lebih 260,000 buku teks yang rosak akibat banjir.